AMANAH Johor bimbang budaya ekstrem berpunca adu domba perkauman

AMANAH Johor melahirkan kebimbangan terhadap budaya ekstrem yang ditonjolkan segelintir umat Islam di negara ini dengan tindakan luar dari akhlak yang diajarkan agama.

Ia susulan tindakan seorang lelaki warga emas yang menyerang seorang pemuda bukan Islam kerana makan pada waktu tengah hari di bulan puasa.

Timbalan Pengerusinya, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, perbuatan ekstrem ini berpunca dari adu domba sesetengah pihak yang sentiasa meniupkan api perbalahan demi kepentingan peribadi seperti tindakan sesetengah ahli politik yang memikirkan untung untuk parti mereka sahaja dan bukan memandang kesan dihadapi rakyat dalam negara ini.

“Terdapat kes baru-baru ini yang memperlihatkan tindakan dari mereka yang berpuasa tetapi melakukan tindakan kasar sehingga mencemarkan nama baik Islam dan perkara itu seperti menjadi-jadi.

“AMANAH Johor berpendapat keharmonian dalam negara adalah asas tunjang yang utuh dan perlu dipertahankan demi kesejahteraan semua yang hidup dalam negara ini.

“AMANAH Johor juga lebih menekankan nilai akhlak murni serta berhemah dalam menegur serta membawa syiar Islam seperti mana yang diajarkan oleh baginda Rasullullah SAW, bukanlah dengan membuat tindakan secara emosi sehingga mencacatkan agama suci Islam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.

Dalam pada itu beliau mencadangkan agar kerajaan negeri memperketatkan lagi undang-undang berkenaan dengan adu domba perkauman dalam negara ini serta mengambil serius hal tersebut.

BACA JUGA ‘Niat jahat Syed Saddiq bermula pada 6 Mac 2020’