‘Niat jahat Syed Saddiq bermula pada 6 Mac 2020’

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahannya berkata, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berniat jahat dengan berselindung di sebalik alasan political mileage (manfaat politik) untuk mengarahkan pengeluaran RM1 juta daripada akaun Armada.

Menurutnya, Ahli Parlimen Muar berkenaan mengetahui bahawa alasan menggunakan pengeluaran dana itu kerana khuatir akan berlakunya pergolakan dalam parti dan wang di dalam akaun Armada adalah hasil titik peluhnya adalah suatu tindakan yang salah.

Beliau berkata, niat jahat Syed Saddiq boleh dilihat melalui tindak-tanduk beliau bermula daripada episod pertama iaitu sebelum pengeluaran wang itu pada 6 Mac 2020 sehingga episod terakhir iaitu selepas 28 Mei 2020, apabila tidak memegang apa-apa jawatan di dalam Bersatu atau Armada.

Berdasarkan cadangan peguam bela yang diajukan kepada saksi pendakwaan ketika perbicaraan kes itu, jelas Wan Shaharuddin, adalah jelas bahawa pengeluaran wang itu berlaku selepas Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.

Wan Shaharuddin berhujah, Langkah Sheraton adalah pergolakan politik sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di mana mahkamah boleh mengambil notis kehakiman berhubung perkara itu.

Katanya, keterangan saksi pendakwaan ke-13 (SP13) iaitu Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali tidak tercabar, di mana adanya perjumpaan dan perbincangan di rumah Syed Saddiq (perayu) di antara beliau, SP13 dan saksi pendakwaan ke-11, iaitu bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi selepas Langkah Sheraton.

Wan Shaharuddin yang juga Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata keterangan Rafiq Hakim bahawa perayu memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan wang itu dan ia adalah bagi manfaat politik, adalah tidak tercabar.

“Adalah hujahan kami, arahan yang diberikan oleh perayu kepada SP13 itu mempunyai kaitan rapat dengan Langkah Sheraton.

“Keterangan SP11 dan SP13 adalah jelas bahawa perayu khuatir pertukaran pucuk pimpinan di dalam BERSATU atau ARMADA sebelum pengeluaran wang berkenaan.

“Kami menyatakan alasan (manfaat politik) ini menunjukkan niat jahat perayu apabila mengeluarkan wang itu.

“Perayu seolah-olah menjadikan wang di dalam Akaun ARMADA seperti miliknya sendiri yang boleh beliau gunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja.

“Perayu juga tidak memaklumkan kepada SP13 sama ada beliau sudah mendapat kelulusan daripada sesiapa untuk mengeluarkan wang terbabit.

“SP13 sebenarnya menjadi alat kepada perayu. Sama juga ahli-ahli kumpulan WhatsApp ‘VALUE ADD’ yang dijadikan alat untuk perayu untuk membersihkan imej sehingga sanggup mengheret ibu bapanya yang tidak bersalah di dalam masalah yang dia sendiri menjadi puncanya,” katanya, dipetik BH.

Wan Shaharuddin berkata, persoalan perlu dijawab oleh Syed Saddiq adalah mengapa arahan beliau untuk mengeluarkan wang itu tidak dibuat sebelum Langkah Sheraton.

Menurutnya, Syed Saddiq tidak boleh membantah atau menafikan tentang Langkah Sheraton kerana fakta itu dibangkitkan oleh pembelaan sendiri semasa pemeriksaan balas mereka ke atas saksi pendakwaan.

Katanya, episod ini telah disokong oleh keterangan SP11 mengenai arahan yang diberikan oleh Syed Saddiq adalah bagi manfaat politik, yang konsisten dengan keterangan SP13.

“Keterangan SP13 berkenaan pengeluaran RM1 juta bagi manfaat politik perayu juga tidak dicabar oleh pihak pembelaan.

“Menurut SP13, kaitan antara Langkah Sheraton dan pengeluaran wang pada 6 Mac 2020 dengan perayu adalah usaha untuk menyelamatkan perayu untuk mendapatkan manfaat politik perayu,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Had tempoh PM: Ketetapan Hadi bukan ketetapan Allah