Kerajaan mahu gunakan REE sebagai ‘pelaris’ tarik pelabur ke Malaysia
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menasihatkan semua pihak tidak “bermimpi di siang hari” dengan membuat andaian mengenai pendapatan yang boleh dijana oleh negara dari sektor Industri Nadir Bumi (REE).
“Saya ingat kita perlu berhati-hati kerana beberapa perkara. Pertama, harga unsur nadi bumi ini dia tertakluk kepada pasaran dunia. Pada satu ketika ia boleh naik kepada USD140,000 dolar untuk satu tan yang telah diproses, yang berada pada peringkat terbaik.
“Kalau mineral mentah yang sebelum ini cuba dieksport dari negara ini, harganya jauh lebih rendah. Harga itu jatuh mendadak sebenarnya dalam 1 tahun yang lepas.
“Itu sebab saya kata berhati-hati dalam kita bermimpi di siang hari berapa banyak kita boleh dapat daripada REE.
“Yang keduanya, industri REE ini teknologinya lebih 90 peratus dikawal oleh hanya satu negara iaitu China yang telah menetapkan undang-undang bahawa tidak boleh memindahkan teknologi pemprosesan ini keluar dari China,” katanya.
Beliau menjawab soalan seorang Senator mengenai sejauh manakah industri REE boleh menjana peluang ekonomi kepada negara dalam tempoh lima tahun akan datang dan sejauh manakah potensi REE ini untuk dijadikan sumber dan hasil utama negara.
Dasar kerajaan telah mengharamkan eksport REE tidak diproses. Ia bertujuan memastikan negara ini mendapat hasil lebih tinggi daripada bahan mentah berkenaan.
Kerajaan Persekutuan bimbang kebenaran eksport REE yang tidak diproses boleh menyebabkan simpanan bahan mentah (REE) ini habis dengan cepat.
Rafizi berkata, kerajaan ketika ini sedang dalam proses mewujudkan dua kemudahan kilang pemprosesan REE.
Menurutnya kerajaan lebih berminat untuk menggunakan sumber mineral yang ada dalam negara sebagai pelaris untuk menarik lebih banyak pelabur, berbanding menjual mineral itu ke luar.
“Itulah yang sekarang ini sedang ditumpukan oleh kerajaan supaya kita membangunkan kilang pemprosesan di sini.
“Dari situlah kita boleh menggunakan unsur nadi bumi yang telah dipisahkan tadi untuk menjadi bahan akhir kepada penggunaan dalam sektor elektronik dan itu akan berjaya menarik pelaburan-pelaburan baru di dalam sektor-sektor strategik seperti semikonduktor, kenderaan elektrik dan lain-lain.
“Pandangan Kerajaan Persekutuan dan perancangan kami itu agak berbeza dengan pihak yang berkira-kira berapa trilion kita bakal dapat. Kita nak gunakan sumber itu supaya dapat dikekalkan dalam negara ini selama yang mungkin.
“Dan hasilnya bukan dengan menjual mineral itu tetapi menggunakannya sebagai pelaris untuk membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi di negara ini,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Had tempoh PM: Ketetapan Hadi bukan ketetapan Allah