RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 sudah diluluskan, ini lima kepentingannya
Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, hari ini, antara lain bertujuan memastikan keberkesanan institusi itu menjalankan fungsinya sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan beberapa Ahli Dewan Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 mengandungi 15 fasal berbanding hanya lapan fasal dalam Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.
Menurutnya, fasal sangat penting dalam RUU itu ialah Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) bawah Fasal 10 boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa sebagaimana difikirkan perlu atau sesuai untuk membantu MPP melaksanakan fungsinya.
“Maknanya, ini bukan hanya terikat kepada satu jawatankuasa seperti yang disebutkan dalam Fasal 9 berkenaan Jawatankuasa Rayuan, Jawatankuasa Perkhidmatan Tatatertib (Fasal 8) dan kenaikan pangkat dalam Fasal 7,” katanya semasa menggulung perbahasan itu.
Terdahulu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 selepas Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan pada 1992.
Berikut lima kepentingan dan faedah utama daripada RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang telah diluluskan hari ini:
1) Mengembalikan kebebasan Parlimen
RUU ini mengembalikan kebebasan Parlimen yang sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 pada tahun 1992.
Dengan kelulusan RUU ini, Parlimen dapat beroperasi secara bebas tanpa campur tangan eksekutif, memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara eksekutif, legislatif, dan kehakiman.
2) Penubuhan Perkhidmatan Parlimen yang berasingan
RUU ini menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ini membolehkan Parlimen mengurus hal ehwal pentadbirannya sendiri, termasuk pelantikan dan pengurusan kakitangan, tanpa perlu merujuk kepada badan eksekutif.
3) Penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP)
MPP akan berfungsi sebagai badan tertinggi dalam Parlimen Malaysia yang bertanggungjawab merancang dan memantau pengurusan serta pentadbiran Perkhidmatan Parlimen.
Ini termasuk melantik dan menentukan terma serta syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berkaitan, dan membangunkan serta melaksanakan program latihan.
4) Memperkukuh sistem Demokrasi Berparlimen
Dengan autonomi yang diberikan, Parlimen dapat menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan dengan lebih berkesan, meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran negara.
5) Memastikan kewangan yang mencukupi untuk Parlimen
RUU ini memastikan kerajaan menyediakan dana yang mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen setiap tahun, membolehkan MPP melaksanakan fungsinya tanpa kekangan kewangan.
Secara keseluruhannya, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah langkah signifikan dalam memperkukuh institusi Parlimen Malaysia, memastikan kebebasannya, dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan dalam menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.
BACA JUGA Tak lagi letih tunggu proses kerajaan, Akta Iltizam bukti PMX dan pasukannya bekerja