Tak lagi letih tunggu proses kerajaan, Akta Iltizam bukti PMX dan pasukannya bekerja

Oleh NAJIB BAKAR

Tahukah anda pada 6 Mac 2025, Parlimen telah meluluskan satu akta baharu yang menarik dan penting?

Anda biasa tak berhadapan dengan proses kerajaan yang banyak sangat peringkat dan berjenis borang perlu diisi?

Contoh, permohonan tanah atau geran tanah.

Prosesnya, kena lalu Pejabat Tanah Negeri, kemudian Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Proses ini sahaja boleh mengambil masa bertahun-tahun, dengan ada semakan bertindih antara agensi.

Kadang-kadang kena lalu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, tambah lagi berminggu-minggu.
Berlapis-lapis birokrasi yang memanjangkan tempoh.

Letih orang menunggu.

Dan mesti banyak lagi prosedur khidmat kerajaan yang anda sendiri pernah lalui dan terfikir, “kenapa nak kena buat lagi benda ni?”

Berbalik kepada akta yang baharu diluluskan, namanya Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025.

Akta ini akan perlahan-lahan mentransformasi agensi kerajaan menjadi lebih cekap dan efisien.
Sasarannya, setiap tiga tahun, 25% beban kawal selia akan dikurangkan.

Beban kawal selia itu bermaksud dan meliputi:

1) Birokrasi yang kompleks – contohnya, proses yang terlalu banyak peringkat atau keperluan dokumen yang tidak relevan.

2) Peraturan berlebihan – undang-undang/garis panduan lapuk atau tidak lagi relevan tapi masih perlu dipatuhi.

3) Kos pematuhan tinggi – yuran, caj, atau keperluan yang bebankan rakyat, seperti lesen dan permit yang terlalu banyak.

4) Tempoh kelulusan lama – keperluan mendapatkan kelulusan daripada banyak agensi, menyebabkan kelewatan.

Dalam tempoh tiga tahun ini, setiap kementerian perlu fokus untuk mengurangkan beban kawal selia ini dan insya Allah kita akan dapat mula merasa perubahannya.

Tapi, sebelum ada yang kata, “maksudnya penjawat awam akan diberhentikan?”

Tidak.

Sebenarnya, penjawat awam akan dapat meningkatkan diri, menaikkan kemahiran diri sendiri dengan budaya kerja dinamik dan berprestasi tinggi.

Akta ini memberi fokus mengurangkan tugas manual yang membebankan penjawat awam melalui integrasi sistem, automasi sistem, dan kecerdasan buatan (AI).

Jadi, penjawat awam boleh fokus kepada perkara yang lebih memberi nilai tambah dan kecekapan hasil kerja.

Masalah birokrasi kerajaan ini dihadapi oleh banyak negara di dunia.

Di Amerika Syarikat (AS), sejak naik Presiden Trump dan penasihatnya Elon Musk, mereka tubuhkan Department of Government Efficiency (DOGE).

Dalam masa beberapa hari saja, ramai penjawat awam dibuang kerja sebab dikatakan tugas mereka itu tidak relevan dan boleh diautomasi.

Agak kejam dan boleh menyebabkan huru-hara dan ketidakstabilan.

Sebenarnya, Akta Iltizam adalah jawapan yang lebih baik daripada DOGE.

Malaysia mengambil langkah cermat dan berhati-hati dalam mengubah struktur organisasi serta birokrasi.

Mengurus negara adalah sesuatu yang kompleks, bukan seperti mengurus sebuah organisasi media sosial seperti X.

Tambahan, seseorang pemimpin itu juga harus ada sifat ihsan dalam memikirkan keperluan hidup penjawat awam.

Walau bagaimanapun, saya merasakan (ini pendapat saya sendiri), ada jawatan-jawatan tertentu dalam organisasi kerajaan yang setelah penjawatnya itu pencen, ia tidak akan diisi oleh orang baru.

Ada beberapa tugasan itu boleh digabungkan dan dilaksanakan oleh orang yang sama.

Proses reformasi penjawat awam ini telah bermula dan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Akta Iltizam adalah salah satu hasil kerja idea PMX Anwar Ibrahim dibantu oleh Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli dan penjawat awam yang bertungkus-lumus di Kementerian Ekonomi.

Dan perlu ditekankan juga, Akta Iltizam ini telah mula dibincangkan di belakang tabir jauh lebih awal sebelum Trump menjadi Presiden.

Bermaksud, konsepnya tidak langsung diambil dari DOGE.

Inilah bukti bagaimana PMX dan pasukannya bekerja.

Dengan idea yang segar, menarik, semata-mata untuk negara, bukan fikir poket atau jongkong emas untuk diri sendiri.

BACA JUGA ‘Niat jahat Syed Saddiq bermula pada 6 Mac 2020’