Kerajaan umum Insentif Rebat RAHMAH sempena 1 Syawal
Kerajaan mengumumkan pemberian Insentif Rebat RAHMAH sempena hari pertama Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemberian Insentif Rebat RAHMAH itu berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warganegara Malaysia, sama ada prabayar atau pascabayar.
Menurutnya, tambahan kuota dan data itu sah untuk tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan.
Telekomunikasi yang terlibat, iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile, TM Tech, YTL Communications, Harvocoms, Tune Talk, Red One, Red Tone, dan XOXcom.
Dalam masa sama, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berharap pemberian Insentif Rebat RAHMAH sempena Hari Raya Aidilfitri ini dapat membantu mengeratkan silaturahim, terutama melalui komunikasi dalam talian, di samping memeriahkan sambutan Syawal tahun ini.
Jelasnya, Insentif Rebat RAHMAH itu ditanggung sepenuhnya oleh semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit dan jumlah akaun telekomunikasi yang berdaftar di Malaysia ialah sekitar 45 juta.
Maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, dan soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Komunikasi.
BACA JUGA Felda tak boleh hidup dalam ruang selesa, ini sebabnya PMX beri tempoh sebulan