Penyasaran subsidi RON95: Ini sebabnya rakyat tidak perlu runsing

Perdana Menteri berkata, rakyat tidak perlu runsing dengan keputusan kerajaan untuk melaksana penyasaran subsidi RON95.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, unjuran rakyat terutama pengguna kenderaan yang tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95 kini meningkat kepada 90 peratus berbanding 85 peratus sebelum ini.

“Mekanisme secara terperinci kita buat. Tapi saya tak terfikir rakyat biasa (perlu) runsing sebab 85 peratus, 90 peratus tak terkesan apa pun kaedah yang akan diperkenalkan dalam isu rasionalisasi (subsidi) minyak RON95.

“Malah, kita kaji bukan 85 peratus, tapi 90 peratus tak dikenakan kepada rakyat,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda di Shah Alam hari ini.

Beliau menjelaskan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 hanya melibatkan golongan rakyat yang berpendapatan tinggi dan warganegara asing.

“Yang dikenakan (kepada) siapa? orang asing dan yang maha kaya.

“Kalau gaji dan pendapatan dia RM50,000 sebulan, bayarlah sikit,” kata beliau yang lagi juga Menteri Kewangan.

Untuk rekod, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan itu menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua peringkat harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi.

BACA JUGA ‘Perjuangan demi ummah, agama dan bangsa bagaikan barang dagangan’