144 terbunuh, 732 cedera dalam gempa bumi 7.7 magnitud di Myanmar
Sekurang-kurangnya 144 orang terbunuh dan 732 cedera di Myanmar selepas gempa bumi dengan magnitud 7.7 menggegarkan negara itu pada Jumaat, menurut Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, lapor Reuters.
Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkata jumlah korban termasuk 96 dari ibu negara Nay Pyi Taw, 18 dari Sagaing dan 30 dari Kyaukse, menurut laporan itu.
Beliau berkata mereka yang cedera termasuk 432 dari Nay Pyi Taw dan 300 dari Sagaing.
Menurut beliau, banyak bangunan mengalami kerosakan, dan operasi menyelamat sedang dijalankan.
Min Aung Hlaing turut meminta bantuan daripada masyarakat antarabangsa buat kali pertama.
AFP melaporkan seramai 20 orang terbunuh di sebuah hospital terkemuka di Naypyitaw.
Dalam pada itu seorang ahli geofizik Jerman memberikan amaran bahawa Myanmar perlu bersedia untuk gempa susulan.
“Kami menjangkakan gempa susulan akan berlaku. Ini adalah proses yang biasa,” kata Oliver Heidbach dari Pusat Geosains GFZ Helmholtz di Potsdam, timur Jerman.
Saintis GFZ berkata, beberapa gempa susulan dengan magnitud antara 6 dan 6.5 boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam atau hari akan datang, dengan jumlah dan kekuatan gegaran dijangka berkurangan dari semasa ke semasa.
BACA JUGA: Ketika dunia bergolak, pelabur terus percaya kepada Malaysia