Isu kuil Hindu kita pula yang bising terlebih

Ghani Isa

Sejak isu pemindahan Kuil Sri Dewi Pathrakaliamman di Jalan Masjid India timbul, keadaan menjadi hingar bingar di kedua belah parti politik.

Seorang mufti, para pendakwah mualaf dan orang kebanyakan di media sosial antara yang paling bising berhubung perkara ini.

Malah ada dua kumpulan Facebook yang bertugas siang malam untuk mencari kuil Hindu di seluruh pelusuk negara dan mengecamnya sebagai kuil haram walaupun status rumah ibadat bukan Islam itu tidak dapat dipastikan dengan sendiri.

Persoalan yang timbul ialah apakah ini yang dinamakan puasa di bulan Ramadan?

Puasa bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga. Ia juga merujuk kepada tindakan, tutur kata dan pemikiran yang perlu dikawal.

Inikah imej tingkah laku Muslim soleh yang mahu dipertonjolkan kepada umat bukan Islam?

Nauzubillahiminzalik… kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Kerana umat satu dua kerat Melayu, rosak agama Islam yang diturunkan oleh Allah swt kepada seluruh umat manusia.

Mungkin sahaja mufti, pendakwah dan orang kebanyakan yang kecoh berkenaan perkara ini perlu menggantikan puasa mereka.

Umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Kafirun seperti berikut:

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ ١
لَآ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ٢
وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ ٣
وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٌۭ مَّا عَبَدتُّمْ ٤
وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ ٥
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ ٦

Umat Islam bukan pemegang taruh dalam kepercayaan Hindu.

Maka, tidak perlulah kita menyibuk perihal mereka.

Biar mereka memberikan solusi kepada permasalahan yang ada sekarang.

Kerajaan Madani boleh menjadi pemudah cara untuk menyelesaikan masalah ini secara baik tanpa menyebabkan sebarang ketidakharmonian.

Wallahua’lam beeshawab.

BACA JUGA: Terkini DBKL rehatkan tiga anggota penguat kuasa kasari peniaga