Terkini DBKL rehatkan tiga anggota penguat kuasa kasari peniaga

Tiga anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) direhatkan sementara selepas didakwa mengasari seorang peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman dua hari lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, tindakan itu dibuat bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL serta siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.

“Keputusan ini juga turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

“DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku warga kerja sekiranya dibuktikan bersalah, terutama yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi

Pada masa sama beliau berkata, DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak.

“Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan juga telah mewakili DBKL menziarahi Muhamad Za’imuddin Azlan yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

DBKL memaklumkan akan mempertimbang untuk menanggung kos rawatan peniaga belon tersebut sepanjang tempoh rawatan, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.

DBKL menyeru agar semua pihak mengelak dari membuat spekulasi, bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

BACA JUGA Peniaga belon kata dakwaan dia diberi amaran tiga kali tidak betul