Mereka diuji susah cari makan, penguatkuasa diuji kuasa di tangan

OLEH LIYANA MARZUKI

Dulu di law school, kami belajar undang-undang pentadbiran. Bagaimana nak guna kuasa dan mentadbir negara.

Satu elemen paling peting dalam undang-undang pentadbiran ialah budi bicara. “Discretion” cakap orang Manjoi.

Dengan jawatan yang kita ada, kita punya kuasa budi bicara.

Makanya kalau pun peraturan atau undang-undangnya kata begitu, ada ketika kita perlu aplikasikan kuasa budi bicara. Tambah kalau ada kes yang lain dari yang lain. Yang membuatkan kita perlu pertimbangkan benda lain.

Contoh seorang hakim. Di hadapannya seorang pencuri. Beliau mencuri susu kerana anaknya lapar sekali. Kalau ini boleh dibukti, hakim ada budi bicara untuk beri seringan-ringan hukuman. Ada setengah keadaan boleh lepaskan.

Kita pula sebagai majikan, walau anak buah buat salah, datang lambat kerja. Berulang kali pula. Rupanya dia berjaga malam menjaga orang tuanya. Kita ada kuasa budi bicara. Bagi pelepasan. Bolehkan dia masuk lambat dari yang lain.

Kuasa budi bicara tanggungjawabnya berat. Kalau beri pengecualian, kena pastikan kita tiada kepentingan. Kalau menghukum, kita kena pastikan ia adil dan setimpal.

Penguatkuasa diberi punya banyak kuasa budi bicara. Terpulang kepada kita bagaimana undang-undang itu nak dikuatkuasa. Kalau terlampau lembut, takut orang pijak kepala. Kalau terlampau tegas, orang kata Firaun pula.

Namun dalam menggunakan kuasa budi bicara, kena selalu tanya diri kita. Adakah tindakan kita bersesuaian dan bersetimpal dengan apa yang dia buat?

Walaupun si pesalah memaki-maki, perlu ke kita belasah? Ataupun we hold our ground penuh hemah?

Kalau pun pesalah bertindak kasar sedikit, berbaloi ke 4/5 orang penguasa belasah dia sampai masuk hospital?

Tepuk dada dan tanya iman.

Mungkin si pesalah itu diuji kerana susah cari makan. Tapi penguasa itu diuji dengan kuasa di tangan.

Sejauh mana amanah nak digunakan.

BACA JUGA Peniaga belon kata dakwaan dia diberi amaran tiga kali tidak betul