Peniaga belon kata dakwaan dia diberi amaran tiga kali tidak betul

Seorang peniaga belon tular yang dikasari sekumpulan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan beliau telah dihalau sebanyak tiga kali oleh pihak berkuasa sebelum pergelutan berlaku.

Kata lelaki itu, dia sendiri takut bertemu penguatkuasa DBKL kerana bimbang barang jualan akan dirampas.

“Tak ada (dihalau). Tidak sama sekali. Tak betul. Saya nak jumpa dia orang pun saya takut. Kalau saya jumpa dia orang, barang saya nanti kena rampas sebab saya berniaga tak berlesen.

“Saya nak mohon lesen tapi saya tak tahu prosedur macam mana,” katanya dalam satu perkongsian video dimuat naik Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Video itu dirakam ketika pegawai Shahidan melawat peniaga berkenaan.

Difahamkan lelaki itu kini dirawat di Hospital Serdang dan berdasarkan x-ray yang dilakukan dia mendakwa mengalami patah tulang belakang.

Dakwaan bahawa mangsa adalah warga asing juga tidak benar kerana individu itu memaklumkan dia berasal dari Jerantut, Pahang.

Katanya, dia berniaga untuk mencari rezeki bagi persediaan Hari Raya Aidilfitri, selain mempunyai penyakit angin pasang (hernia).

BACA JUGA PM luang masa balas ucapan kad raya murid, guru