Kuil, masjid jadi pusat bantuan mangsa kebakaran Putra Heights

Sebuah kuil Hindu dan masjid telah menjadi pusat bantuan mangsa kebakaran Putra Heights.

Adun Kota Kemuning Preakas Sampunathan telah memaklumkan bahawa mangsa kebakaran Putra Heights boleh mendapatkan bantuan di Kuil Sri Maha Kaliamman.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Kuil Sri Maha Kaliaman kini dibuka untuk membantu semua yang terkesan akibat insiden kebakaran di Putra Heights dan kawasan sekitarnya,” katanya menerusi hantaran Facebook.

“Sekiranya anda atau keluarga memerlukan tempat untuk berehat, berlindung sementara, atau mendapatkan bantuan, pihak kuil bersedia menerima anda dengan penuh keprihatinan.

“Kuil Sri Maha Kaliaman berdiri bersama komuniti dalam menghadapi dugaan ini. Semoga semua yang terlibat dilindungi dan segala urusan dipermudahkan.

“Untuk bantuan atau pertanyaan: Sila datang terus ke Kuil Sri Maha Kaliaman atau hubungi wakil kuil untuk mendapatkan bantuan.”

Kuil tersebut terletak di Persiaran Harmoni.

Letupan pagi tadi mengakibatkan lima dimasukkan ke hospital manakala 25 lagi cedera.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Operasi Smart Selangor mengesahkan hanya saluran gas yang telah terbakar bukannya stesen minyak Petronas.

“Kawasan Kampung Kuala Sungai Baru yang berhampiran terbakar, melibatkan beberapa rumah. Anggaran rumah yang terbakar masih belum di kenal pasti.

“Terdapat juga mangsa yang terperangkap di dalam rumah. Usaha menyelamatkan mangsa sedang giat dijalankan.

“Mangsa yang telah diselamatkan telah di bawa ke PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights,” menurut kenyataan Pusat Operasi Smart Selangor lagi.

BACA JUGA Lima masuk hospital, 25 cedera ekoran kebakaran di Putra Heights