Kebakaran paip gas: Ini status terkini, 13 mangsa rupanya di zon merah

Terdapat 13 daripada 111 mangsa mendapatkan rawatan di hospital di zon merah susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, 55 mangsa lagi menerima rawatan di zon kuning manakala 43 lagi kategori zon hijau.

“Seramai 75 orang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah Serdang dan Hospital Cyberjaya manakala 36 mangsa mendapatkan rawatan di hospital lain, antaranya Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh,” jelasnya.

Setakat ini, Wan Azlan memaklumkan seramai 529 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights membabitkan 485 orang daripada 110 keluarga.

Seramai 44 orang daripada lapan keluarga lagi berteduh di Dewan Serbaguna MBSJ (Camelia).

Dalam masa sama, sebanyak 235 premis serta 399 kenderaan terjejas dalam kejadian yang berlaku pada pagi 2 Syawal itu.

“Setakat ini, polis menerima 59 laporan, antaranya berkaitan rumah dan kenderaan terjejas, kecederaan serta isu tanah,” katanya di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Subang, hari ini.

Semalam, saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor terbakar dengan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat tempat kejadian, mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya akibat kebakaran tersebut.

PMX turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak serta memaklumkan bahawa tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan berkenaan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan bersama Petronas dan kerajaan negeri.

Isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut meluangkan masa melawat mangsa kejadian yang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

BACA JUGA MP Kota Raja sambut baik komitmen segera PMX bantu mangsa kebakaran paip gas