MP Kota Raja sambut baik komitmen segera PMX bantu mangsa kebakaran paip gas
Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu menyambut baik komitmen segera Perdana Menteri dalam memberi jaminan pembaikan menyeluruh kepada infrastruktur yang rosak serta tanggungjawab terhadap kebajikan mangsa kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya.
Beliau berkata, siasatan terperinci dan telus perlu dijalankan terhadap punca kejadian itu semalam dan memastikan langkah-langkah keselamatan diperketatkan demi mengelakkan tragedi sebegini daripada berulang.
Menerusi kenyataan pagi ini, beliau merakamkan rasa dukacita yang mendalam dan solidariti penuh terhadap semua mangsa yang terkesan dalam insiden pagi 2 Syawal itu.
“Kejadian ini bukan sahaja menggemparkan negara, malah menyukarkan kehidupan penduduk setempat apabila lebih 100 orang mengalami kecederaan, termasuk kanak-kanak, selain ratusan rumah dan kenderaan mengalami kerosakan yang amat serius,” katanya.

Semalam, saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor terbakar dipercayai berpunca daripada fenomena letupan wap cecair mengembang atau Boiling Liquid Expanding Vapor Explosion (BLEVE).
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Memetik Bernama, bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata kejadian itu berlaku apabila gas mudah terbakar bocor, menyebabkan wap gas terapung di udara sebelum berlaku pencucuhan yang mencetuskan letupan besar.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat tempat kejadian, mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya akibat kebakaran tersebut.
PMX turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak serta memaklumkan bahawa tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan berkenaan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan bersama Petronas dan kerajaan negeri.
Isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut meluangkan masa melawat mangsa kejadian yang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Sebanyak 190 unit rumah, 148 kereta, serta 11 motosikal dilaporkan rosak sehingga petang semalam dalam kejadian kebakaran itu manakala tiada kematian dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, beliau sejak semalam dan pagi ini telah menghubungi pihak berkuasa dan wakil-wakil agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci.
“Semalam juga saya telah mengarahkan staf Parlimen Kota Raja untuk turun padang mendapatkan maklumat kejadian dan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen yang berjiran dengan kawasan Kota Raja yang turut sama turun padang, serta semua agensi Kerajaan — khususnya bomba, polis, petugas perubatan, dan pihak berkuasa tempatan — yang telah bertindak pantas menyelamatkan mangsa dan mengawal keadaan daripada menjadi lebih parah,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak agar terus bertenang, mematuhi arahan keselamatan, dan sentiasa menjaga kebajikan sesama jiran dalam menghadapi musibah.
“Semoga mangsa-mangsa yang sedang dirawat segera diberi kesembuhan, dan kita semua diberi kekuatan untuk bangkit bersama. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul,” kata Mohamad lagi.

BACA JUGA Kebakaran di Putra Heights: Rumah musnah, mangsa peroleh RM5,000