Bila dapatan siasatan letupan paip gas mula diumum? Ini penjelasan MB Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan hasil dapatan siasatan tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya kelmarin akan mula diumumkan esok.

Menurutnya, ia akan diumum dalam sidang media yang dijadualkan esok oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil maklum semua klip video, laporan maklumat dan akan mula dimaklumkan mulai esok oleh Ketua Polis Selangor dalam taklimat beliau, iaitu dua hari sekali.

“Bermakna setiap hari akan ada sidang media, satu membabitkan dasar, keputusan keseluruhan dan satu yang membabitkan aspek siasatan, sama ada jenayah, kecuaian atau aspek teknikal yang akan dibentangkan oleh jabatan terlibat,” katanya.

Amirudin berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemulihan Kawasan Putra Heights di Bangunan SUK Selangor, hari ini.

Jelasnya, mulai hari ini beberapa langkah kawalan akan dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di beberapa lokaliti terutama pusat pemindahan sementara (PPS), berikutan terdapat kesesakan.

Berhubung jumlah mangsa nahas tersebut, Amirudin memaklmkan terdapat 308 keluarga membabitkan 1,254 mangsa dikenal pasti terjejas akibat kebakaran saluran paip gas berkenaan pada 1 April.

Katanya, seramai 630 mangsa kini ditempatkan di dua PPS, manakala baki 624 lagi mendapatkan perlindungan di rumah saudara atau kenalan mereka.

Dalam masa sama, pihaknya turut mengenal pasti 87 rumah mengalami kerosakan sepenuhnya dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah lain masih boleh dihuni selepas dibaiki.

Sementara itu, dua mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur akibat terhidu asap.

BACA JUGA Kebakaran paip gas: Mangsa dakwa ada kerja pembinaan, pengorekan