Kerajaan cari lebih banyak syarikat sumbang kenderaan sementara

Syarikat penjualan kereta terpakai, Carro, bersetuju untuk menyumbangkan 30 buah kenderaan bagi kegunaan sementara mangsa yang terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat itu bersetuju menghulurkan bantuan itu selepas dihubungi semalam.

Buat masa ini beliau berkata, lebih banyak syarikat-syarikat lain yang sedang dihubungi untuk mendapatkan lebih banyak kenderaan sementara.

“Jadi pejabat Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han sedang membuat pendaftaran jadi mana mana mangsa yang memerlukan kenderaan boleh mendaftar dengan mereka.

“Kita akan lihat berapa jumlah keperluan dan masa sama juga kita sedang menghubungi syarikat-syarikat lain supaya mendapat lebih banyak kenderaan yang boleh digunakan oleh mangsa untuk sementara waktu.

“Terdapat juga motosikal yang hangus dan rosak dalam kejadian itu, kita sedang usahakan dengan pihak berkaitan untuk menaja pemberian motosikal secara percuma kepada lebih 70 mangsa yang terlibat,” katanya memetik BH Online hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Semalam, Sze Han mengumumkan syarikat automotif Chery Malaysia akan menyediakan sebanyak 50 kereta untuk kegunaan mangsa insiden kebakaran.

Anthony juga memaklumkan, pihaknya telah dihubungi oleh pengasas Berjaya Group Bhd, Tan Sri Vincent Tan yang menyatakan persetujuan untuk menderma sebanyak RM3,000 kepada setiap keluarga mangsa insiden berkenaan.

BACA JUGA ‘Jangan biadab nak maki anak angkat saya’, Steven Sim tegur penyokong Pas