Rafizi tak sebut pun pasal nak pecahkan monopoli Petronas, Gas Malaysia Berhad

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak sebut pun tentang memecahkan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad seperti dijaja penyedia kandungan media sosial pro pembangkang, Ratu Naga.

Aktivis politik Najib Bakar berkata, hal itu disebut pada 23 Mei 2016 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

“Makna kata, RN (Ratu Naga) dan juak-juaknya lambat sembilan tahun.

“Ni bukan guna internet dah ni, ni dah level guna tongkang nak hantar surat.

“Sembilan tahun punya berita baru sampai kat depa. Lembab betul,” tempelaknya.

Terdahulu, Ratu Naga menonjolkan apa yang dianggapnya sebagai “ucapan Rafizi Ramli”.

Ia berkaitan pelancaran Pelan Hala Tuju Gas Negara pada 13 Februari lalu.

​Ratu Naga, atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah menggunakan poster dari Fokus.My, lidah ISMA, yang memetik Berita Harian sebagai sumber.

Mengulas lanjut, Najib menegaskan Rafizi tidak pernah sama sekali menyebut “pecahkan monopoli” Petronas dan Gas Malaysia Berhad.

“Boleh semak sumber Berita Harian dan mana-mana berita bertarikh 13 Februari 2025.

“Langsung tak pernah sebut perkataan “pecahkan monopoli”,” katanya dengan turut menyertakan pautan berita berkaitan ucapan Rafizi ketika itu.

Liberalisasi gas

Rafizi antara lain berkata, semakan dasar sedia ada menjadi satu keperluan mendesak memandangkan liberalisasi gas yang lebih mendalam bukan lagi sekadar pilihan dasar, tetapi ia adalah satu keperluan.

Menurut beliau, langkah ke arah liberalisasi telah bermula di Malaysia dengan Akta Bekalan Gas (Pindaan) 2016, yang memperkenalkan sistem akses pihak ketiga (TPA).

Sehubungan itu, Najib menggesa pembangkang membaca mengenai RUU Bekalan Gas (Pindaan) 2016 supaya otak tidak dipajak.

“Adakah RUU ni ditentang oleh PH yang sewaktu itu jadi pembangkang?

“Seingat aku tidak, sebab ia sebenarnya satu langkah yang baik oleh kerajaan di bawah Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

“Maksudnya, pembangkang iaitu PH ketika itu tidaklah semberono semua benda nak politikkan macam pembangkang sekarang.

“Dan kalau orang Pas atau Bersatu nak tunggang isu ini, kenapa semasa jadi kerajaan 33 bulan tak buat sesuatu?

“Masa itu hampa ada peluang nak mansuhkan Akta yang dipinda tahun 2016 ni. Atau sebenarnya hampa tak paham satu hapah pun?” tempelak Najib lagi.

BACA JUGA Bila dapatan siasatan letupan paip gas mula diumum? Ini penjelasan MB Selangor