Penjaja belon rupa-rupanya ada rekod jenayah lampau babit kes dadah?
Peniaga belon yang didakwa dikasari anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minggu lalu didakwa mempunyai 13 rekod jenayah lampau.
Menurut Kosmo! yang memetik sumber, kebanyakannya didakwa berkaitan dengan kesalahan dadah.
“Kebanyakan rekod terbabit adalah berkaitan dengan kesalahan dadah.
“Suspek sebelum ini pernah dihadapkan ke mahkamah bagi enam daripada kes tersebut,” kata sumber itu seperti dilapor.
Sementara itu, berhubung insiden antara peniaga belon dan anggota DBKL, dua daripada tiga kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, siasatan terbabit melibatkan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menyebabkan kecederaan parah secara sukarela.
“Satu lagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sebuah laman web yang dikaitkan dengan kes tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui mediaselepas sidang akhbar operasi Cyber Guardian di Bukit Aman hari ini.
BACA JUGA Polis sahkan memang ada kerja korek tanah di Putra Heights guna ‘backhoe’