Mat Sabu perjelas dakwaan para pesawah masih belum terima ‘duit raya’ RM30 juta

Sumbangan wang ihsan berjumlah RM30 juta yang dijanjikan oleh syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kepada para pesawah telah mula diagihkan kepada lebih 200,000 pesawah yang layak.

Mengenai kelewatan agihan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), piawaian pengurusan kewangan dalaman, serta kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat.

Menurutnya, proses penyaluran dana akan mengambil sedikit masa kerana perlu mematuhi peraturan kewangan serta tatacara dalaman syarikat.

“Dana berjumlah RM30 juta ini bukanlah dana awam, sebaliknya adalah peruntukan dalaman syarikat yang tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat BERNAS sendiri.

“Maka itu, penyaluran sumbangan hanya boleh dilaksanakan setelah semua keperluan pematuhan ini diselesaikan sepenuhnya seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diamalkan oleh pihak syarikat, terutama melibatkan dana berskala besar.

“Namun begitu, KPKM ingin memaklumkan bahawa dana RM30 juta telah diterima sepenuhnya daripada BERNAS pada Jumaat, 28 Mac 2025,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mohamad menjawab desakan banyak pihak yang mempersoal mengapa para pesawah masih belum mendapat “duit raya” seperti yang dijanjikan Perdana Menteri sebelum ini.

Mereka menuntut penjelasan kerajaan dan menggesa agar peruntukan disalurkan segera dengan telus.

Dalam pada itu Mohamad berkata, KPKM telah pun memulakan proses pengagihan di mana ia dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April 2025.

“KPKM amat memahami kegusaran serta harapan tinggi daripada para pesawah.

“Kami ingin menegaskan bahawa kementerian komited sepenuhnya dalam memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak.

“Kementerian juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pesawah sepanjang proses ini berlangsung,” katanya lagi.

BACA JUGA Pemilik mula lelong banglo di Putra Heights pada harga RM3.33 juta