Ini sebabnya Fadhlina ingin tanding Ketua Cabang Nibong Tebal
Fadhlina Sidek menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal pada pemilihan peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, tidak lama lagi.
Ketua Wanita PKR itu berkata, beliau rasa terhutang budi dan khidmat terhadap anggota parti, pasukan Pakatan Harapan (PH) serta rakyat Nibong Tebal yang bekerja keras selama ini hingga membolehkannya dihantar ke Parlimen.
“Saya dan rakan mempertaruhkan seluruh jiwa, tenaga dan pasukan kami dengan kekuatan kemajmukan serta semangat keluarga besar PKR.
“Kita harus merangkul setiap kekuatan yang ada, menerajui iltizam memperkukuh parti dalam kepelbagaian menerusi bingkai kesatuan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi, malam tadi.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal bertekad memimpin dan menavigasi cabang PKR yang menghimpun kekuatan anggota parti yang komited sepanjang ditubuhkan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pendidikan memohon mandat anggota Cabang Nibong Tebal memberi peluang kepadanya memimpin cabang itu sebagai calon ketua cabang yang baharu.
Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti bagi sesi 2025-2028 dilaksanakan pada 24 Mei depan.
BACA JUGA MP PN ‘claim’ pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Selangor