Sambutan Aidilfitri Sepang dibatalkan, mangsa letupan saluran gas di Sepang akan peroleh bantuan

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu telah mengumumkan pembatalan majlis rumah terbuka Aidilfitri di kawasan parlimennya, Sepang selaras dengan pendirian kerajaan Selangor yang membatalkan sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri.

Beliau turut mengumumkan bahawa 232 tilam bersaiz Queen akan diagihkan kepada 116 mangsa letupan saluran gas Putra Heights yang akan ditempatkan di Kota Warisan, Sepang.

“Sebagai tanda solidariti dan penghormatan kita kepada mangsa-mangsa Letupan Saluran Gas di Putra Heights, maka dengan ini dimaklumkan bahawa Rumah Terbuka Parlimen Sepang KASIH D’Aidilfitri yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 19 April 2025 adalah dibatalkan.

“Sepertimana kenyataan saya kelmarin bahawa kita menyambut baik perancangan kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang sebagai salah satu penempatan sementara di rumah Smart Sewa dengan subsidi kerajaan negeri kepada lebih kurang 116 keluarga mangsa letupan saluran gas di Putra Heights, Puchong.

“Saya bersama Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang dengan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan mengalu-alukan 116 keluarga mangsa ini, dan siap sedia membantu.

“Sebagai langkah awal, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang akan menyediakan sejumlah 232 buah tilam bersaiz Queen untuk diagihkan kepada 116 keluarga mangsa terbabit yang dijadualkan akan berpindah masuk ke premis berkaitan mulai minggu ini.

“Ia akan diselaraskan oleh Pegawai Kebajikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang, saudara Mohd Jani Bin Saring.”

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari sebelum ini mengumumkan pembatalan sambutan Aidilfitri Madani sebagai tanda simpati kepada mangsa letupan saluran gas di Putra Heights.

Kejadian malang tersebut berlaku pada pagi Aidilfitri kedua.

BACA JUGA: MP PN ‘claim’ pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Selangor