Kenali Dr Ustaz Yusri Bakir calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir diumum sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan perkara itu semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning bersama Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tapah di Command Centre BN Perak di Dewan Serbaguna Kg Tersusun Hj Tahir, Temoh hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah.

Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) hadir sama iaitu Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; dan Presiden Parti AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Horaward Lee.

Dr Ustaz Mohamad Yusri yang berusia 54 tahun memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan memulakan kerjayanya sebagai guru pada 1992.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh serta merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah.

Pensyarah berkenaan yang mendirikan rumahtangga dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52, mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mengaut majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

BACA JUGA Semua setuju perkukuh kuasa Islam tapi bukan ‘Islam Pas