Dua ustaz ‘bertempur’ di PRK Ayer Kuning, PN pertaruh Muhaimin jadi calon
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bakal menyaksikan sekurang-kurangnya dua calon bergelar ustaz ‘bertempur’ di peti undi pada 26 April nanti.
Perikatan Nasional (PN) malam ini mengumumkan Ustaz Abdul Muhaimin Malek, 44, sebagai calon mewakili blok pembangkang itu.
Abdul Muhaimin yang merupakan Pengetua MTQ Addin Air Kuning, Kampar itu juga adalah Pengerusi PN Tapah.
Pencalonan beliau diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Semalam, BN mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir, 54, mewakili gabungan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Dalam masa sama, Dr Ustaz Mohamad Yusri aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Tapah, Ahli Majlis Daerah Tapah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Ayah kepada empat anak berkenaan yang menetap di Kampung Tersusun Haji Tahir pernah diberi tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah dan Ketua Biro Agama dan Kebajikan Pemuda UMNO Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mengaut majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
BACA JUGA Dialog menteri dari tiga negara ini gambaran bagaimana Asean mahu maju