Ribut petir diramal landa utara Semenanjung mulai 10 April ini
Angin barat laut dijangka bertiup kencang dan menumpu di utara Semenanjung bermula 10 hingga 13 April ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan terlibat.
Dalam masa sama, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama bagi perairan Phuket dan Selat Melaka Utara berkuat kuasa 11 hingga 12 April.
Kawasan terbabit dijangka dilanda angin kencang barat laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.
Sehubungan itu, dalam tempoh berkenaan keadaan tersebut berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, media sosial rasmi jabatan itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.
BACA JUGA Pesawah dapat bantuan khas RM90 juta