Bina perniagaan guna udara, terbukti cara ini berhasil

Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF

Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, saya memegang jawatan sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah TV Alhijrah. Pengerusinya ketika itu ialah Dato Hussamudin Yakcob.

Kita semua tahu Menteri Agama kala itu begitu aktif membantu rakyat Malaysia melalui program Musa’adah Covid-19. Jadi, agensi seperti TV Alhijrah pun kena terlibat sama.

Di ketika yang sama banyak perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi tekanan disebabkan pelbagai halangan yang ada. Nak menjual pun susah. Di sini sekat, di sana sekat, di situ tutup.

Dalam satu mesyuarat, saya cadangkan supaya TV Alhijrah memberikan sebahagian dari slot udaranya kepada PMKS secara percuma.

“Kita kan ada slot-slot iklan yang tidak terpakai disebabkan Covid-19” kata saya.

“Mengapa tidak kita gunakan slot-slot ini untuk syarikat-syarikat kecil mengiklankan produk mereka?

“Kita boleh nilaikan slot-slot ini di dalam nilai kewangan dan itu dikira sebagai sumbangan kita kepada program Musa’adah” tambah saya lagi.

Jutaan ringgit

Slot udara (air slot) adalah modal stesen televisyen dan juga radio seperti TNB menjana elektrik. Ada orang beli ke, orang tak beli ke, elektrik kena dijana.

Jika tak ada pembeli, elektrik yang dijana itu hangus begitu sahaja. Dalam ekonomi ini dirujuk sebagai “opportunity cost” (kos peluang). Konsep yang sama terpakai kepada stesen televisyen.

Cadangan saya diterima dan TV Alhijrah memperuntukan beberapa ratus jam dari slot udaranya bagi membolehkan PKMS mengiklankan produk mereka secara percuma. Slot-slot yang diberikan nilainya jutaan ringgit juga kalau tak silap saya.

Apa yang menariknya ialah ada agensi kerajaan lain yang kemudiannya membeli slot udara ini sebagai usaha membantu PKMS.

Ada juga PKMS yang mendapat bantuan ini yang kemudiannya kembali membeli slot-slot berbayar kerana mereka sudah dapat menjangka pulangan yang mereka akan dapat setelah mengiklankan produk mereka secara percuma.

Akhirnya, disebabkan pemberian slot udara percuma ini, TV Alhijrah berjaya mewujudkan satu segmen pasaran baharu yang membawa masuk duit di kala itu.

Dalam membina nilai perniagaan, kita kena kreatif. Ada kalanya kita kena bina nilai dengan memudahkan pihak lain mencuba produk yang kita tawarkan.

Ini banyak digunakan oleh perniagaan berasaskan digital. Harga permulaan yang ditawarkan amat rendah untuk mengumpan pelanggan.

Apabila mereka sudah terlekat dengan nilai yang ditawarkan, baharulah harga yang sebenar dikenakan.

Asalkan jumlah pelanggan yang tinggal membolehkan keuntungan dijana, kaedah ini dikira berjaya.

Saya berpuas hati berkhidmat di TV Alhijrah kerana kedudukan kewangannya jauh lebih kukuh dikala perkhidmatan saya tidak diperlukan lagi berbanding dengan sewaktu saya masuk ke situ.

Ini juga adalah sebahagian dari penglibatan saya dengan agensi awam. Nanti saya cerita lagi.

*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

BACA JUGA Dialog menteri dari tiga negara ini gambaran bagaimana Asean mahu maju