Buli tidak boleh dikompromi, AMANAH gesa siasatan menyeluruh

Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan gejala buli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, emosi mahupun psikologi adalah satu bentuk keganasan yang tidak boleh dikompromi.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, kes buli yang tular di media sosial melibatkan sekumpulan pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang bukan sahaja menggemparkan masyarakat, malah mencemarkan nama baik institusi Pendidikan.

“Kami turut mengambil maklum bahawa ini bukan kali pertama kes buli yang serius melibatkan pelajar dilaporkan kepada umum.

“Ia mencerminkan perlunya tindakan yang lebih menyeluruh, berterusan dan bukan sekadar reaksi sementara terhadap kejadian yang berlaku,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, AMANAH juga menyambut baik kenyataan dan tindakan tegas oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang dengan jelas menyatakan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk budaya buli.

“Pendekatan tegas ini amat penting sebagai mesej jelas bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar adalah keutamaan mutlak,” ujarnya.

Tindakan tegas

Kelmarin, tular rakaman video berdurasi satu minit dan 31 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.

Mangsa dilapor berusia 15 tahun dilibas dengan tali pinggang, diikat kaki, dan dihimpit oleh beberapa individu lain selain bahagian punggung dikorek dari luar seluar.

Mengulas lanjut, Azli berkata, AMANAH menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas MARA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak berkuasa berkaitan supaya menyiasat kejadian tersebut dengan telus dan menyeluruh.

“Sekiranya terdapat kecuaian atau kelalaian pihak pentadbiran, tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Pembuli juga harus diberikan tindakan yang mendidik dan memulihkan, bukan sekadar menghukum.

“Kami juga menggesa agar diwujudkan pelaksanaan Dasar Anti-Buli yang berkesan.

“Semua institusi pendidikan, terutamanya sekolah berasrama disaran memperkukuh pelaksanaan polisi anti-buli yang menyeluruh termasuk pencegahan, pengesanan awal, mekanisme aduan yang mudah, dan intervensi berasaskan psikososial,” kata Azli lagi.

BACA JUGA Dua ustaz ‘bertempur’ di PRK Ayer Kuning, PN pertaruh Muhaimin jadi calon