Kerajaan akan buat keputusan tarif Trump Isnin depan
Kerajaan akan mengumumkan keputusan mengenai tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas import Malaysia, Isnin depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu akan dibuat dalam satu Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN yang akan diadakan esok serta mesyuarat National Geoeconomic Command Center (NGCC) Isnin depan.
“Maka pada hari Isnin kita akan buat beberapa keputusan sebelum kita meminta rombongan bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan dengan AS dihantar ke Washington.
“Tarikh tepat belum boleh saya sebut di sini tapi semua tertakluk kepada keputusan dan kelulusan jemaah menteri hasil daripada mesyuarat esok dan juga mesyuarat Isnin ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif pihak kerajaan sebagai Pengerusi ASEAN,” katanya selepas mesyuarat Kabinet hari ini
Pada 2 April, Trump mengumumkan beberapa tarif baharu yang secara langsung menaikkan duti import ke atas beberapa rakan dagang Washington di Asia Tenggara berkuat kuasa 9 April.
Thailand dikenakan tarif sebanyak 36%, Indonesia 32%, Brunei dan Malaysia masing-masing 24%, Filipina 17%, dan Singapura 10%.
Fahmi berkata, satu mesyuarat akan diadakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama-sama menteri-menteri ASEAN atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Tengku Zafrul sebelum ini berkata, mesyuarat tersebut dijangka membincangkan implikasi lebih meluas akibat daripada langkah-langkah tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau dan kestabilan makroekonomi.
BACA JUGA Puas hati pekerja pam minyak gagalkan kenderaan Singapura isi RON95