Puas hati pekerja pam minyak gagalkan kenderaan Singapura isi RON95
Tindakan seorang pekerja stesen minyak menggagalkan cubaan kenderaan bernombor plat Singapura dari mengisi minyak bersubsidi negara ini mendapat perhatian ramai.
Pengguna media sosial berpuas hati melihat pekerja berkenaan menarik semula pam minyak dari kenderaan yang cuba mengisi RON95.
Dalam satu rakaman tular di Facebook ROADS.sg, sebuah kenderaan jenis BWM dilihat sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Johor Bahru.
Kejadian difahamkan berlaku pada 7 April lalu, namun cubaan pemilik kenderaan itu berjaya dipatahkan.
RON95 adalah petrol bersubsidi yang hanya dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja.
Kebanyakan stesen minyak kini sudah pun meletakkan gegantung atau pelakat pada pam, tertera amaran bahawa ia adalah milik rakyat Malaysia dan tidak dibenarkan diguna oleh kenderaan asing.
Kes kenderaan dari Singapura yang mengisi minyak bersubsidi bukanlah isu baharu. Ia sering dibincangkan secara terbuka di media sosial.
Atas sebab itu, kerajaan sedang merancang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini.
Pada masa ini, harga RON95 di negara ini ialah RM2.05 seliter berbanding Singapura (RM9.02 sen).
Harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah RM20 bilion.
BACA JUGA Kes rogol di Kelantan membimbangkan, budak perempuan sendiri minta buat hubungan