Kes rogol di Kelantan membimbangkan, budak perempuan sendiri minta buat hubungan
Polis Kelantan mendedahkan kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan semakin membimbangkan, dengan kebanyakan kes adalah suka sama suka.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, terdapat satu trend di mana budak perempuan akan mencari lelaki untuk mengadakan hubungan intim.
“Bagi saya kes rogol dan sumbang mahram sangat membimbangkan.
“Jika dulu lelaki yang mencari perempuan, namun kini di Kelantan sebaliknya yang berlaku apabila perempuan yang mencari lelaki untuk membuat hubungan.
“Hasil siasatan yang dilakukan, sebanyak 98 peratus kes yang dilaporkan adalah suka sama suka,” katanya pada sidang media hari ini.
Bagi kes sumbang mahram, ada kes di mana kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun hamil bersama bapa saudaranya yang berumur 20-an.
Selain itu kata beliau, ada kes anak saudara perempuan berusia 10 tahun meminta membuat hubungan dengan bapa saudara berusia 20-an yang akhirnya mengandung.
“Ada juga kes di mana lelaki berusia 11 tahun membuat hubungan dengan sepupu perempuan berusia 15 tahun sehingga mengandung.
“Lebih tragik remaja perempuan bawah umur namun membuat hubungan sehingga dengan lima lelaki,” kongsinya lagi.
Mohd Yusoff berkata, perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana kesemua kes rogol yang dilaporkan adalah suka sama suka bukannya paksaan.
Apa yang paling menyedihkan katanya, ada ibu bapa yang tahu anak perempuan mereka yang di bawah umur ini membawa balik lelaki ke rumah dan masuk ke dalam bilik.
Justeru ibu bapa dinasihatkan supaya memantau anak-anak mereka terutama penggunaan telefon serta pergaulan yang terlalu bebas.
Ujar beliau, pihak sekolah dan masyarakat setempat juga diingatkan untuk sentiasa memantau kanak-kanak di bawah umur ini.
BACA JUGA Pelbagai video persenda Trump selepas kenakan tarif baharu lebih tinggi