Kritikan Mokhtar Senik yang pelik…

Kritikan pemimpin Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik terhadap setiausahanya yang juga Adun Semenyih Nushi Mahfodz agak pelik.

Ia pelik kerana Mokhtar tidak tahu perkara ini kerana belum menjadi wakil rakyat.

“Jangan panjat bangunan yang ada kegiatan pelacuran walaupun anda naik sekadar memenuhi undangan para pelacur untuk makan kuih raya dan buat tahlil.

“Kerana orang awam melihat apa yang zahir dan itu sudah cukup membuka pintu fitnah,” tulis beliau yang dipercayai mengulas tindakan seorang Adun yang juga pemegang jawatan utama dalam Dewan Ulama Pas melawat sebuah kuil di Selangor dan terlibat di dalam upacara di situ.

“Kita cakap golongan liberal berkerja kearah menormalisasikan perkara haram. Tapi kita?” kata Mokhtar dalam coretan di Facebook.

Mengunjungi rakyat di rumah ibadat adalah lumrah wakil rakyat kerana ia menjadi platform untuk mendengar rintihan rakyat dan mengusahakan jalan penyelesaian.

Ia juga pelik kerana kritikan ini memberi gambaran bahawa Pas tidak bersedia menyantuni pengundi bukan Islam.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sesi muktamar lalu mahu Pas lebih mesra dengan pengundi bukan Islam.

Nampak gayanya Mokhtar yang turut hadir muktamar tidak menumpukan perhatian terhadap intipati ucapan Hadi.

Satu lagi kepelikan ialah kebisuan ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Pusat N Balasubramaniam.

Bunyi cengkerik boleh didengar tetapi DHPP membisu seribu bahasa dalam perkara ini.

BACA JUGA: Jangan naik sarang pelacur untuk makan kuih raya, kata ulama Pas kepada pemimpinnya