PM beri jaminan kaji semula rangka kerja pelantikan kehakiman
Kerajaan akan meneliti secara menyeluruh kerangka kerja Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK), selepas wujud gesaan agar peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim dihapuskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata, kajian semula ini dibuat untuk memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.
“Kajian semula ini akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).
“Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook sebentar tadi.
Sementara itu Anwar mengambil maklum tentang tindakan undang-undang yang difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan ke atas kesahan Akta SPK.
Beliau berkata, kerajaan ini menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran serta jalur kehakiman.
Ini katanya adalah antara tunggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang.
“Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, Kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali.
“Pada masa sama, saya menyedari bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO),” katanya.
Menurut Anwar, persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan.
“Sehubungan itu, sementara kerajaan akan mempertahankan kesahan Akta SPK di mahkamah, saya menzahirkan komitmen reformasi Kerajaan MADANI untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja SPK, selaras dengan semangat pembaharuan institusi,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Kes rogol di Kelantan membimbangkan, budak perempuan sendiri minta buat hubungan