Jentera AMANAH sudah digerakkan di Ayer Kuning

Walaupun hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning masih belum tiba, AMANAH Perak telah pun menggerakkan jenteranya secara serius dan tersusun.

Gerak kerja awal ini membuktikan iltizam parti dalam memperkukuh kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi.

Semalam AMANAH Perak telah menganjurkan Majlis Perasmian Bilik Operasi PRK AMANAH N.48 Ayer Kuning, bertempat di Tanjung Keramat.

Program ini menghimpunkan jentera parti dari seluruh kawasan dalam negeri Perak sebagai platform menyusun strategi, menyampaikan amanat, dan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kempen PRK.

Majlis dirasmikan oleh Naib Presiden AMANAH merangkap Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang turut memberi semangat dan arahan kerja kepada seluruh jentera AMANAH agar kekal fokus, tersusun dan berdisiplin sepanjang tempoh kempen.

Turut hadir, Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan, yang menyifatkan PRK Ayer Kuning sebagai antara yang terbaik pernah dikendalikan sejak beliau memimpin jentera pilihan raya kecil AMANAH.

“Sepanjang saya mengetuai lima PRK sebelum ini, inilah PRK terbaik dari segi kesediaan dan kerjasama. AMANAH Perak telah memulakan kerja dengan disiplin dan fokus tinggi, meskipun belum masuk hari penamaan calon,” katanya.

Program ini turut menyaksikan penubuhan rasmi Cawangan AMANAH Tanjung Keramat, serta penyerahan borang keahlian baharu kepada kepimpinan parti sebagai tanda sokongan akar umbi yang semakin berkembang di kawasan ini.

Hadir sama Pengerusi AMANAH Perak, Dato’ Haji Asmuni Awi serta seluruh ahli jawatankuasa negeri, menandakan keseriusan dan komitmen penuh kepimpinan dalam menjayakan PRK ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

Setakat ini PRK Ayer Kuning menyaksikan BN mencalonkan Dr Mohamad Yusri Bakir dari Umno manakala Pas mencalonkan Abd Muhaimin Malek dan PSM mengetengahkan Bawani KS.

BACA JUGA: Terbukti tidaklah dianaktiri, rakyat Kelantan lega projek lebuhraya KBKK hampir siap