KBS siasat pegawai buat komen tidak sopan di media sosial

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan bahawa siasatan akan dibuat ke atas pegawai kementerian yang membuat komen tidak sopan di media sosial.

Siasatan ini dibuat ekoran tindakan seorang kakitangan KBS Wan Nusmadi Leman yang bertugas di Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara Alor Gajah yang melontarkan kenyataan tidak sopan dan tidak bermoral di platform Facebook.

“Berdasarkan Peraturan Pertanyaan Awam (Peraturan 19, P.U. (A) 395/1993), adalah jelas dinyatakan bahawa pegawai kerajaan tidak dibenarkan membuat kenyataan awam yang boleh menjejaskan dasar, rancangan, atau keputusan kerajaan, atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej kerajaan,” kata seorang pegawai KBS.

“Tindakan segera telah pun dilaksanakan pada awal pagi hari ini dengan menghantar Unit Integriti KBS yang diketuai oleh Puan Noramelia Roslan dan Puan Molly Mariapan untuk menjalankan siasatan lanjut di IKTBN Alor Gajah, Melaka. Pertemuan bersama Pengarah IKTBN tersebut telah berlangsung pada jam 2.00 petang tadi.”

Pengumuman ini dibuat ekoran desakan masyarakat di media sosial agar tindakan segera diambil terhadap kakitangan berkenaan.

Isu ini turut dibincangkan dalam mesyuarat pasca Jemaah Menteri.

Laporan penuh hasil siasatan akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha KBS dan dikongsikan dengan Pejabat Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya.

BACA JUGA: Kepedulian Malaysia terhadap Syria