Kecoh ratusan pekebun durian tak puas hati pokok ditebang, ini respon kerajaan Pahang

Ratusan pekebun durian menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri Pahang kerana menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King milik mereka.

Difahamkan, 186 pekebun durian menanam Musang King di atas tanah milik kerajaan negeri Pahang.

Save Musang King Alliance (Samka) mendakwa tindakan kerajaan negeri menebang pokok mereka telah melanggar perintah Mahkamah Rayuan, yang melarang sebarang perobohan struktur atau penebangan pokok durian sementara perbicaraan sedang berjalan, kecuali dengan kebenaran mahkamah.

Pun begitu dalam satu respon balas hari ini kerajaan Pahang menafikan dakwaan melanggar perintah mahkamah.

Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Saiful Edris Zainuddin berkata operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa kerajaan negeri bersama kakitangan Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah serta polis itu tidak terikat dengan mana-mana perintah mahkamah.

Jelas beliau, permohonan pekebun durian untuk semakan kehakiman berhubung perintah pengusiran telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, dan permohonan penangguhan turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

“Keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Julai menjelaskan bahawa pekebun sepatutnya memohon perintah penangguhan (terhadap perintah pengusiran) di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 43 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pada peringkat awal, setelah permohonan semakan kehakiman ditolak.

“Namun, mereka terus ke Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan perintah penangguhan tanpa melalui prosedur yang sepatutnya. Oleh itu, permohonan tersebut ditolak,” katanya memetik Bernama.

BACA JUGA KBS siasat pegawai buat komen tidak sopan di media sosial