Kelantan Darul Naim FC aib teruk dibelasah JDT
Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dibelasah teruk Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri malam ini.
Skuad Kijang Emas malu besar selepas tumpas 9-0 dengan gawang gol seawal minit kelapan diterobos menerusi penyerang JDT, Bergson da Silva.
Pemain warganegara Brazil itu sekali lagi menyumbat gol kedua sekali gus menambah koleksi jaringan ke-28 apabila menanduk bola hasil sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-20.
Tidak terhenti setakat itu, Bergson mencipta hatrik pada minit ke-24 apabila menjaringkan gol selepas merembat bola dari luar kotak penalti.
Dia kemudian menghasilkan gol ke-30 dalam saingan liga selepas bijak menyudahkan bola sepakan lintang Jese Rodriguez ketika aksi memasuki minit ke-30 perlawananan.
Bergson terus memurungkan KDN FC pada minit ke-36 berpunca daripada bola bola sepakan sudut Juan Muniz menyaksikan berlaku kekalutan di dalam kotak penalti.
Kesempatan itu kemudiannya membolehkan Bergson merembat gol ke-31 peribadi dalam saingan liga sekali gus memadam rekod yang dilakukan pada minit ke-30.
KDN FC seterusnya diaibkan dalam babak kedua, apabila JDT dengan mudah menjaringan gol keenam pada minit ke-54 selepas bola sepakan lintang Bergson membolehkan Romel Morales yang tidak dikawal mudah menanduk masuk menewaskan penjaga gol gantian, Muhammad Alfaiz Zula’amin.
JDT terus memburu gol ketujuh perlawanan apabila Morales mudah menolak masuk untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-57 selepas menerima bola umpanan Rodriguez.
Sekali lagi, selang 11 minit kemudian, JDT merobek gawang lawan menerusi pemain gantian Shahrul Saad.
Akhirnya, Safiq Rahim yang diturunkan dari bangku simpanan memuktamadkan kemenangan yang indah pada minit ke-83.
BACA JUGA Malaysia amat hargai komitmen pelaburan ketika dunia berhadapan impak perang tarif