Malaysia amat hargai komitmen pelaburan ketika dunia berhadapan impak perang tarif
Malaysia amat menghargai komitmen dan usaha merealisasikan pelaburan yang telah dirancang oleh pelabur-pelabur termasuk dari Amerika Syarikat (AS) ketika dunia berhadapan dengan ketidaktentuan impak perang tarif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden Eksekutif Jepun dan Asia Pasifik bagi Oracle Corporation (Oracle), Garrett Ilg serta delegasinya petang tadi.
Beliau berkata, Oracle merupakan syarikat teknologi pengkomputeran utama dunia yang pada Oktober tahun lalu mengumumkan rancangan untuk melabur lebih daripada AS$6.5 bilion untuk membuka rantau awan awam di negara ini.
“Pelaburan ini merangkumi lebih daripada 150 infrastruktur dan perkhidmatan Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) yang akan membantu meningkatkan ekonomi digital negara serta memacu inovasi yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI).

“Perbincangan kami menyentuh potensi perkhidmatan-perkhidmatan yang dipacu AI termasuk yang disediakan oleh Oracle.
“Malah, saya bangkitkan kepentingan pengukuhan ekosistem bakat dan inovasi negara, termasuklah langkah-langkah bagi memupuk tenaga kerja mahir dengan kemahiran digital yang berkaitan dan keterangkuman digital,” kata Perdana Menteri lagi.
Pada 2 Oktober tahun lalu, Oracle mengumumkan rancangan untuk melabur lebih US$6.5 bilion (RM27 bilion) bagi mewujudkan wilayah awan awam di negara ini.
Oracle menjelaskan wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).
BACA JUGA Harga telur ayam dijangka kekal rendah dalam tempoh sebulan