Terpalit kes pengubahan wang haram lebih RM300,000, bekas Ketua Penolong Pengarah JAIPs diheret ke mahhkamah

Berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM300,000 pada 2022, 2023 dan 2024.

Itu pertuduhan terhadap seorang bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Bagaimanapun, Muhammad Hafeez Abu Seman, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas kesemua pertuduhan tersebut.

Bapa kepada lima anak itu didakwa atas empat pertuduhan memindahkan wang RM101,871.31 daripada sebuah akaun bank miliknya.

Satu pertuduhan lagi adalah memiliki wang berjumlah RM60,989.52 dalam akaun bank miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Hafeez juga didakwa atas dua pertuduhan menerima wang tunai RM162,990 melalui akaun bank miliknya daripada seorang individu lain yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesemua pertuduhan berkenaan dilakukannya di dua bank berasingan, masing-masing di Damansara Utama dan Kajang dekat sini antara 5 April, 13 April, 16 Ogos, 7 Julai, 30 Okt dan 27 Dis 2022; 6 Jan, 9 Mac, 28 April, 1 Mei, 25 Jun dan 1 Nov 2023 serta 10 Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta mana yang lebih tinggi.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima sejumlah wang berjumlah RM5,140 menerusi akaun bank miliknya daripada seorang individu yang ada hubungan dengan kerja rasminya bagi urusan pendaftaran pernikahan luar negara di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006 pada 19 September 2022 serta 20 Januari 2023 di sebuah bank di Damansara Utama di Petaling Jaya.

Hukuman diperuntukan di bawah Seksyen 165 Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Memetik Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Fariz Abdul Hamid menawarkan jumlah jaminan RM300,000 bagi kesemua tujuh pertuduhan di bawah Akta 613 manakala RM10,000 untuk dua pertuduhan di bawah Akta 574.

BACA JUGA Harga telur ayam dijangka kekal rendah dalam tempoh sebulan