YAB MB, kalau boleh ke Paris dan London, mana logiknya disekat

Oleh MUSTAFA ALI

Dalam satu kenyataan yang penuh drama dan konspirasi bak skrip Netflix siri The Spy, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘pengawasan senyap’ kerajaan – kerana dilabel sebagai TCO (Travel Control Order).

Kononnya, hidup beliau dipantau, pergerakan dia dikesan, dan setiap perbualan mungkin sedang dirakam oleh “satu cawangan khas” yang entah siapa.

Tunggu dulu.

Sebelum kita semua mula sarung foil di kepala dan sembunyi telefon dalam peti ais, mari kita hadam satu perkara penting: TCO bukan Black Ops, bukan alat penyeksaan politik – ia SOP.

Apa itu TCO sebenarnya?

TCO (Travel Control Office) bukan alat untuk sekat pembangkang, bukan alat untuk kawal sesiapa. Ia adalah unit keselamatan yang berada di setiap pintu sempadan – lapangan terbang, pelabuhan, dan checkpoint – yang akan merujuk nama individu tertentu yang perlu diberi perhatian demi keselamatan mereka sendiri.

Contoh? Menteri, MB, Raja, VIP, personaliti berisiko tinggi, malah kadang-kadang saksi kes penting pun akan dirujuk ke TCO jika perlu perhatian keselamatan.

Jadi, Samsuri dilabel sebab apa?

Bukan sebab dia ancaman. Tapi sebab dia mungkin berisiko jadi mangsa ancaman. Ya, sistem ini wujud supaya kalau apa-apa berlaku semasa MB berada di luar negara – misalnya, diculik pengganas semasa naik tuk-tuk di Bangkok – TCO tahu, KDN tahu dan negara boleh bertindak cepat.

Maksudnya? Ia bukan sekatan. Ia perlindungan. MB Terengganu patut bersyukur, bukan berfantasi jadi Bourne Identity.

Tapi dia kata dia dipantau 24 jam?

Well, kalau betul, kita minta beliau tunjuk bukti. Bukan rasa-rasa. Jangan nanti lepas ini semua orang yang terserempak dengan kereta tinted gelap mula fikir mereka diintip kerajaan.

Lebih pelik bila MB boleh ke Auckland masa banjir, boleh ke London dan Paris, boleh buat ceramah di kedai mamak – dan langsung tak dihalang. Jadi mana logiknya “disekat”? Kalau betul dia persona non grata, dia dah kena tahan kat imigresen Subang Skypark pun.

Kalau TCO ini salah, kenapa MB Kelantan relax sahaja?

Paling kelakar, MB Kelantan – juga dari Pas – tak pernah bising pasal TCO ini. Dia pun lalu pintu imigresen yang sama. Tapi mungkin beza dia dengan Samsuri adalah satu: MB Kelantan tak anggap diri dia watak utama dalam filem Mission: Impossible.

Jangan Politikkan SOP

Buat kenyataan politik itu boleh, tapi jangan sampai rakyat keliru antara realiti dan halusinasi. Sistem negara ada sebabnya. Kalau semua perkara disensasikan sebagai “alat tekanan politik”, esok lusa bunyi lif berbunyi pun boleh jadi “sistem kawalan suara”.

MB sepatutnya gunakan peluang untuk bantu rakyat Terengganu yang perlukan capaian internet lebih baik, peluang ekonomi yang inklusif, dan pengurusan bencana yang cekap – bukan buat dongeng konspirasi TCO demi pancing simpati.

Samsuri, ini bukan filem James Bond. Ini pentadbiran negara.

Dan rakyat bukan penonton wayang yang mudah percaya tanpa semak fakta.

BACA JUGA MB Terengganu kecam langkah keselamatan kerana tidak tahu protokol VVIP, dakwa pengkritik