AMANAH Perak gesa pihak berkuasa agama siasat dakwaan calon PN tipu tauliah

AMANAH Perak menggesa pihak berkuasa agama menyiasat bagaimana calon Perikatan Nasional (PN) DUN Ayer Kuning, Abdul Muhaimin Malek boleh memiliki tauliah mengajar di negeri itu dan dakwaan berlaku penipuan untuk mendapatkan tauliah berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, sebarang cubaan menipu dalam permohonan tauliah bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi agama, malah merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja serta derhaka kepada titah Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.

Menurutnya peraturan semasa jelas menyatakan bahawa individu yang memegang jawatan dalam parti politik atau bertanding dalam pilihan raya tidak layak diberikan tauliah mengajar.

“Jika dakwaan ini benar, maka jelas calon tersebut telah memperoleh tauliah secara tidak sah dan menipu pihak berkuasa agama, selain melanggar garis panduan dan peraturan sedia ada.

“Lebih penting, tindakan ini bertentangan dengan titah Sultan Perak sendiri, yang sebelum ini telah menegur secara terbuka usaha menyalahgunakan institusi agama dan tempat ibadah bagi kepentingan politik kepartian.

“Perbuatan seperti ini bukan sahaja mencemar kesucian masjid dan surau, malah mencerminkan sikap tidak menghormati arahan tertinggi negeri,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

AMANAH Perak menegaskan bahawa perbuatan ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, pelanggaran undang-undang syarie, serta mencemar kedaulatan Raja Berperlembagaan.

Jelas Asmuni, ia memperlihatkan sifat tidak jujur dan oportunis yang tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin rakyat.

“Kami menyeru agar pihak berkuasa agama menyiasat secara menyeluruh dakwaan ini dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan calon PN enggan mengulas dakwaan beliau menipu untuk mendapatkan tauliah mengajar.

Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah itu hanya menjawab dengan ringkas bahawa isu berkenaan sudah dijelaskan.

Tetapi tiada sebarang laporan dikeluarkan daripada mana-mana media.

BACA JUGA Calon PN enggan ulas dakwaan tipu tauliah mengajar agama