Lawatan JinPing dirancang lebih awal di sebalik geopolitik, ekonomi mencabar
Lawatan Negara Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan bermula esok sehingga Khamis ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun lawatan ini berlangsung dalam suasana geopolitik dan geoekonomi serantau yang mencabar, ia telah dirancang lebih awal sebagai sebahagian usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara perdagangan yang mengamalkan keterbukaan dan hubungan seimbang dengan semua rakan antarabangsa.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga memikul tanggungjawab penting untuk terus mendukung keterangkuman dan keamanan serantau,” kata Setiausaha Politik Kanan Anwar dalam Taklimat Harian hari ini.
Ini adalah lawatan negara kedua oleh Presiden Xi Jinping ke Malaysia selepas lawatan pertama beliau pada tahun 2013.
Ini adalah kesinambungan hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin sejak lebih 50 tahun lalu.
Xi Jinping dijadualkan untuk menerima istiadat Sambutan Negara di Istana Negara dan menghadiri majlis santapan negara bersama Agong pada pagi Rabu, sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
Pertemuan akan diadakan di Kompleks Seri Perdana pada sebelah petang bagi membincangkan kerjasama dua hala dan isu serantau, serta menyaksikan pertukaran beberapa Persefahaman, perjanjian dan nota diplomatik.
BACA JUGA Kerajaan Selangor tawar 100 rumah sementara dengan sewa RM850 sebulan