MP PH tidak setuju tindakan Nazri kritik Ketua Hakim Negara

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mengkritik ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika persidangan Undang-undang Komenwel di Malta baru-baru ini.

Beliau berkata, ucapan Tengku Maimun adalah bersifat umum langsung tidak ditujukan kepada Perdana Menteri.

Malah jika diteliti ucapan beliau, ianya adalah menyokong cadangan untuk menambahbaik proses perlantikan para hakim dalam proses Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC).

“Perdana Menteri sendiri baru-baru ini telah menyatakan komitmen bahawa Kerajaan MADANI akan melihat semula proses perlantikan hakim ini untuk ditambahbaik.

“Sudah tentu cadangan untuk mengeluarkan peranan Perdana Menteri juga akan diteliti.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI mengakui proses itu boleh ditambahbaik, sekaligus membuktikan sekali lagi komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP justeru menyarankan semua pihak untuk menerima ucapan Tengku Maimun dengan hati terbuka dan berlapang dada dengan cadangan yang diutarakan.

Beliau yakin ia dibuat dengan niat baik bagi menjamin kebebasan dan integriti badan kehakiman yang semakin pulih terutamanya di bawah kepimpinan Tengku Maimun.

Terdahulu Nazri yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat berkata, Tengku Maimun sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlihat seorang Perdana Menteri mencampuri urusan kehakiman negara.

Beliau berpendapat ucapan Tengku Maimun bukan sahaja memalukan rakyat Malaysia di mata dunia, malah memberi imej buruk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA JUGA Kapsul masa dah macam ‘unboxing’ tak menjadi