Pencerobohan tanah: Ini sebabnya wujud hipokrasi
Oleh A KADIR JASIN
Cerita orang ceroboh tanah kerajaan dan tanah persendirian ini bukanlah cerita baru.
Hakikat ia berlaku di bawah batang hidung pegawai dan penguatkuasa awam pun bukan juga cerita baru.
Hakikat kerajaan tahu perkara ini bukan perkara baru. Pada bulan November lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Parlimen, sebanyak 1,074 lokasi membabitkan 38,376.78 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung diteroka secara haram.
Hakikat ia berlaku dengan melibatkan rasuah pun bukan perkara baru. Tidak percaya cuba serbu Pejabat Daerah dan tangkap “raja-raja” tanah di situ.
Hakikat pencerobohan ini berlaku untuk tujuan perniagaan dan keagamaan pun bukan perkara baru.
Hakikat pencerobohan ini berlangsung berpuluh-puluh tahun lamanya tanpa gangguan pun bukan perkara asing.
Selalunya, masalah timbul apabila pihak yang menceroboh membuat kesilapan taktikal dengan menuntut hak atau tidak mengikut tuntutan tuan tanah atau tuan tanah tiba-tiba sedar tanahnya telah diceroboh.
Dalam kes di mana pencerobohan melibatkan kawasan yang luas, ia selalunya membabitkan persekongkolan antara penceroboh dan orang yang berkuasa.
Tidak masuk akal beratus-ratus ekar tanah kerajaan ditebang tebas dan ditanam tanaman kekal seperti durian tanpa dikesan atau diganggu oleh pihak berkuasa untuk berpuluh-puluh tahun lamanya. Mesti melibatkan kowtim.
Tiba-tiba, ada ada pihak lain yang lebih berkuasa di segi undang-undang dan kewangan berahikan tanah itu. Maka berlakulah tindakan yang tidak semena-mena dan tegas.
Demikianlah lebih kurang cerita ceroboh tanah. Bukan cerita baru. Dan mustahil akan berhenti dengan satu, dua tindakan.
BACA JUGA Pencerobohan tanah mustahil berhenti dengan satu, dua tindakan