Padah hina PM, ‘Mat Pakistan’ didenda RM4,000, telefon pula ada bahan lucah
Individu dari Kelantan yang menggunakan nama Mat Pakistan didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah memuatnaik kandungan video menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lelaki berusia 25 tahun berkenaan dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Majistret Bachok, hari ini di bawah pertuduhan Seksyen 292 Kanun Keseksaan (KK).
Suspek ditahan atas kesalahan menyebarkan video mengaibkan atas niat membangkitkan perpecahan keamanan.
Terdahulu, lelaki itu memuat naik satu video berdurasi 46 saat yang mendatangkan keaiban terhadap Perdana Menteri.
Dia menghasut rakyat setempat supaya tidak menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri yang dianjurkan pada 12 April lalu di Pantai Irama, Bachok.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, dipetik berkata, siasatan mendapati suspek menggelarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jolokan nama yang memalukan dan mengaibkan iaitu ‘ketimbang’ dan ‘Bang Non’.
Beliau berkata, lelaki tersebut juga membuat tuduhan kehadiran PM adalah untuk ‘mengencing’ atau dengan kata lain menipu orang yang hadir ke sambutan raya itu.
“Suspek juga membuat kenyataan yang seolah-olah mengajak orang ramai supaya tidak menyukai dan memboikot Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan.
Polis turut merampas telefon bimbit miliknya untuk siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, 233 Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit suspek juga dibuat dan didapati terdapat kandungan video dan gambar lucah.
Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan supaya semua pemilik media sosial tidak mudah memuat naik kenyataan atau video yang terkait perkara 3R (agama, kaum dan raja) yang boleh memecahkan keamanan dan menimbulkan kegusaran awam.
BACA JUGA Keluarga Pak Lah tersentuh dengan kemuliaan kata PM Anwar