Siapa pemimpin kanan Bersatu ditahan SPRM atas dakwaan rasuah?
Seorang pemimpin kanan Bersatu direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.
Perintah reman selama enam hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap suspek berusia 61 tahun itu.
Menurut laporan media tempatan, individu tersebut merupakan pengarah sebuah syarikat yang didakwa terlibat dalam projek tambak laut di Melaka bernilai RM44 juta.
Suspek ditahan di pejabat SPRM Melaka pada jam 4.55 petang Isnin berhubung projek tambakan laut di Kota Laksamana membabitkan nilai itu sejak lima tahun lepas.
Menurut sumber, suspek didakwa menerima rasuah berbentuk harta, membabitkan empat kenderaan mewah sebagai timbal balik projek berkenaan.
Ketika ini nama Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad disebut-sebut sebagai individu yang ditahan SPRM.
Ali merupakan bekas timbalan pengerusi Umno Melaka. Dia juga pernah menjadi ketua Umno Tangga Batu namun tewas kepada Rais Yasin dalam pemilihan pada 2023.
Ali menjadi timbalan yang-dipertua Dewan Negara pada Disember 2020 hingga Mei 2023.
Pada Mei tahun lalu, Umno mengumumkan keanggotaan Ali ditamatkan ekoran tindakannya menyertai Bersatu.
BACA JUGA Berikut inisiatif kerajaan dalam menangani kesan tarif terhadap sektor agromakanan