Janji Sin Chew Daily selepas heboh isu gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit

Sin Chiew Daily akan mengambil tindakan disiplin terhadap petugas yang bertanggungjawab atas kesilapan membabitkan paparan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar itu semalam.

Menerusi kenyataan, akhbar yang sudah berusia 96 tahun itu memaklumkan pihaknya sudah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci berkaitan insiden itu.

“Jabatan Pengarang Sin Chew Daily sudah menambah baik prosedur semakan khususnya dalam aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kami berjanji untuk lebih berwaspada dan peka dalam menangani isu yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, pengurusan Sin Chew Daily dengan sepenuh hati menerima titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan kesilapan Jalur Gemilang yang dipaparkan di muka hadapan akhbar itu.

Titah Sultan Ibrahim, kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan (Sin Chew Daily) boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.

Seri Paduka Baginda bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak.

Sebelum ini, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.

BACA JUGA Ini senarai sektor boleh untung besar hasil lawatan Xi Jinping, Malaysia tengah ‘hot’ sekarang