UM tandatangan MoU dengan Universiti Fujian, China buat R&D tentang Juncao
Universiti Malaya (UM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Kajian Juncao China bagi membolehkan kajian mendalam dibuat tentang tanaman Juncao yang dianggap sebagai “rumput kemakmuran” dan “rumput kebahagiaan” oleh Presiden China, Xi Jinping.
Majlis menantangani MoU itu dibuat di UM semalam di mana Ketua Saintis Juncao, Profesor Lin Zhanxi telah mewakili Universiti Perhutanan dan Pertanian Fujian, China.
Pihak UM pula diwakili oleh Profesor Dr Sanjay Rampal, Pengarah Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan UM.
Sebelum majlis ini, Profesor Lin telah membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Kedatangan Profesor Lin adalah serentak dengan kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Ia diusahakan oleh Dr Jacob Low You Chai, Pengerusi Asia Pasific-China Western Development Promotion Association dan Datuk Husam Musa, Pengerusi TH Properties untuk membolehkan rakyat Malaysia menikmati manafaat dari rumput ini.

(Gambar kenangan selepas majlis MoU antara UM dan Pusat Kajian Juncao, China di UM semalam. Turut serta dalam gambar adalah Datuk Husam Musa, Pengerusi TH Properties dan Dr Jacob Low (4 dari kiri), Pengerusi Asia Pasific-China Western Development Promotion Association)
Teknologi Juncao, inovasi unik China yang menggantikan kayu dengan rumput, merupakan projek untuk menjadi mata pencarian penting. Ia telah dikembangkan ke lebih dari 106 buah negara untuk kegunaan rakyat mereka.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Profesor Lin telah mendedikasikan hampir 40 tahun hidupnya untuk memajukan teknologi Juncao.
Kini teknologi Juncao telah memasuki fasa perindustrian, di mana pelaburan korporat adalah penting.
Hanya melalui perindustrian membolehkan Juncao benar-benar menjadi “rumput kemakmuran” dan “rumput kebahagiaan” untuk rakyat, kata kenyataan sempena majlis itu.
Juncao (sebutannya Chinchao) atau rumput kulat kini boleh digunakan dalam pelbagai industry termasuk makanan, baja, bahan api, pulpa, kain dan bahan papan
Kejayaan terkini adalah apabila ia berjaya ditukar kepada biodiesel dan metanol, menawarkan alternatif hijau kepada bahan api fosil tradisional—terutamanya sesuai untuk digunakan sebagai bahan api untuk kapal dan kapal terbang, yang merupakan mod pengangkutan yang memakan tenaga yang tinggi.
Di China, program penanaman Juncao berskala besar telah dilancarkan di Xinjiang, China.
Ia berfungsi sebagai bahan mentah asas untuk menyokong ratusan juta yuan dalam pelaburan untuk kilang biodiesel, metanol dan tekstil hiliran.
Malaysia pula menawarkan iklim hutan hujan tropika yang sesuai untuk penanaman Juncao, yang boleh memberikan hasil yang tinggi sepanjang tahun.
“Ia boleh menjadi contoh terbaik untuk menjadi “Pangkalan Demonstrasi Global untuk Aplikasi Tenaga Juncao”.
“Dengan sokongan penuh dari China dari segi teknologi, modal dan peralatan, ia memupuk perkongsian menang-menang antara China dan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Turut hadir dan berucap di majlis semalam adalah Timbalan Naib Canselor UM, Profesor Dr Kaharudin Dimyati dan Datuk Husam Musa, orang yang membawa Profesor Lin ke Malaysia.
BACA JUGA Selepas 12 tahun, Presiden China kini kembali bertandang tiga hari di Malaysia