Papar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit tak boleh dianggap remeh
Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan pemaparan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depan akhbar Sin Chew Daily pada 15 April lalu tidak boleh dianggap remeh.
Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, Jalur Gemilang menyentuh soal maruah serta lambang perjuangan, perpaduan, dan harapan yang merentasi generasi.
“Kita hidup dalam sebuah negara unik yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa.
“Dalam kepelbagaian ini, Jalur Gemilang menjadi satu-satunya simbol yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
“Ia adalah identiti bersama yang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Apabila simbol ini dipaparkan secara tidak tepat, ia bukan sekadar kesalahan teknikal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kelmarin, penerbitan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar Sin Chew Daily mencetuskan kemarahan dan kecaman banyak pihak.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut bertitah menegaskan penyiaran itu tidak boleh diterima kerana bendera negara adalah lambang kedaulatan dan identiti negara yang tidak boleh dipersendakan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga melakukan siasatan serta-merta terhadap Sin Chew Daily dengan sudah memanggil pihak akhbar itu bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab turut diserahkan.
Semangat patriotik
Mengulas lanjut, Wan Anwar berkata, penerbitan imej bendera Malaysia yang tidak lengkap oleh akhbar itu seperti meletakkan wajah tokoh sejarah secara salah dalam buku teks atau memainkan lagu kebangsaan dalam nada sumbang.
“Simbol-simbol negara adalah warisan yang perlu dijaga rapi dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.
Lebih mengecewakan, kata Wan Anwar, insiden itu juga berlaku ketika Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar bermula 21 April ini.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan satu inisiatif murni bertujuan untuk menanam semangat cinta negara dalam kalangan generasi muda.
“Jika kita mahu anak-anak kita membesar dengan semangat patriotik, maka semua pihak termasuk media dan institusi utama wajar menunjukkan contoh teladan yang baik,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, AMANAH menyeru agar semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menguruskan penerbitan atau penyiaran yang melibatkan lambang negara.
“Hormatilah simbol, semailah nilai. Bendera Malaysia bukan sekadar hiasan.
“Ia adalah cerminan jiwa rakyat dan tanah air tercinta ini,” tambah Wan Anwar lagi.
BACA JUGA Sembang konon ramai takut dengan kerajaan MADANI, Tun M ‘mudah lupa’ pasal ISA