Sembang konon ramai takut dengan kerajaan MADANI, Tun M ‘mudah lupa’ pasal ISA
Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kononnya ramai takut dengan kerajaan MADANI tetapi netizen menempelak bekas Perdana Menteri dua kali itu dengan mengingatkan tentang penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau yang popular dengan ungkapan “Melayu mudah lupa” itu berkata, pada masa ini tidak boleh silap sedikit akan disoal oleh polis dan tidak boleh bercakap mengenai isu 3R iaitu raja, agama dan kaum.
Padahal, jelas bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, masalah yang timbul ialah yang berkaitan dengan 3R.
“Mereka Melayu. Tidak boleh cakap pasal Melayu. Mereka beragama Islam. Tidak boleh cakap pasal Islam.
“Mereka nak rujuk kepada Raja. Jangan cakap pasal Raja. Jangan cakap berkenaan Adendum.
“Jangan tiup whistle. Awak akan disiasat. Jangan politikan itu dan ini,” dakwanya.
Malah, Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu mendakwa wakil rakyat pun dikenakan tindakan gantung tidak bertali jika ‘bercakap’ dalam Dewan Rakyat.
Oleh sebab itu, dakwa Mahathir, orang ramai takut kerana bukan sahaja akan disoal oleh polis, bahkan boleh masuk dalam tahanan.
“Bukan sehari dua, tetapi berbulan. Undang-undang kata kalau salah dakwa di mahkamah.
“Tetapi tak perlu. Reman sahaja. Atau salah guna undang-undang. Masuk dalam tahanan tidak beza dari hukum penjara. Mahkamah tak perlu.
“Sebaliknya, ada yang sedang dibicara dalam mahkamah tetapi stop. Bukan sahaja itu. Jadi menteri pula,” ujarnya.
Lebih mengejutkan apabila Mahathir yang kalah teruk hingga hilang deposit di kerusi Parlimen Langkawi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu turut menyentuh tentang pemilihan hakim.
“Sekarang nak tukar cara hakim dipilih. Sudah tukar pentadbiran dewan-dewan.
“Reformasi – tutup mulut rakyat itulah re-4-ma-si Liau-Liau,” sindirnya lagi.

Rata-rata mengecam dakwaan terbaharu Mahathir itu memandangkan penindasan politik dan pencabulan hak asasi manusia dengan memperalat ISA telah terbukti berlaku semasa kerajaan di bawah pentadbirannya sebagai Perdana Menteri kali pertama mulai 1981 hingga 2003.
Penahanan tanpa perbicaraan terbuka dan tempoh tahanan bergantung kepada budi bicara Menteri Dalam Negeri itu mengakibatkan ramai individu yang menyuarakan kritikan terhadap kerajaan ditahan di bawah ISA.
Mahathir menggunakan ISA secara meluas dan strategik untuk menundukkan lawan politik, membungkam suara kritikal, dan mengawal naratif politik negara.
Paling ketara ketika Operasi Lalang pada 1987 apabila seramai 106 individu ditahan di bawah ISA melibatkan ahli politik pembangkang iaitu DAP dan Pas, aktivis, NGO, pensyarah universiti, wartawan, ahli agama, dan pendidik.
Dalam masa sama, media turut ditutup, disekat atau digantung permit seperti akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh, dan Watan.

Seterusnya, menjelang tahun 2000 apabila ramai pemimpin gerakan Reformasi, aktivis dan pelajar ditahan di bawah ISA susulan pemecatan dan penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Motif penahanan di bawah ISA itu dilihat sebagai usaha Mahathir untuk menghentikan gelombang reformasi yang mengancam kekuasaannya.
Walaupun Mahathir berhujah bahawa tindakan itu demi kestabilan, ia tetap menjadi titik hitam dalam sejarah demokrasi Malaysia.
Banyak pertubuhan hak asasi sama ada dalam dan luar negara, menyifatkan penggunaan ISA itu sebagai penindasan sistematik terhadap pembangkang dan kebebasan bersuara.
BACA JUGA Janji Sin Chew Daily selepas heboh isu gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit