Anggota bomba di Kelantan buat komen jelik politik berdepan tindakan

Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kelantan yang membuat hantaran komen jelik berkaitan politik di laman sosial bakal dikenakan tindakan.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, siasatan ke atas anggota yang berusia 40-an itu telah dilakukan.

Menurutnya amaran kepada anggota berkenaan telah diberikan, bagaimanapun setakat ini belum ada tindakan yang diambil.

“Kami sedang menunggu maklum balas daripada ibu pejabat.

“JBPM Kelantan sentiasa memantau dari masa ke semasa serta memberikan nasihat dan peringatan kepada pegawai serta anggota supaya lebih berhati-hati apabila memberi komen di laman sosial,” katanya dalam sidang media malam tadi.

Dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak 18 anggota telah menerima surat peringatan manakala seorang anggota bomba bantuan digantung tugas selama tiga bulan kerana melanggar etika penggunaan media sosial.

BACA JUGA Pengulas AS kata Melayu tak ada duit, tak boleh bantu ekonomi China